Harap maaf kalu cerpen nie x seronok...sajer nak post alang2 kena buat tugasan untuk Bahasa Melayu
************
Dania
mengeluh buat kesekelian kalinya. Hasratnya untuk menjadi seorang pereka fesyen
yang terkenal ditolak mentah-mentah oleh bapanya. Sudah beberapa kali dia
menyampaikan hasrat itu tetapi jawapan yang diterima tetap sama.“Ayah tak izinkan
kamu belajar fesyen. Bidang ni tak tak menjamin masa depan yang cerah untuk
kamu.” Berulang kali ayat itu timbul di kepala Dania. Air mata yang mula
menitis pantas diseka.
Sudah
hampir satu jam setengah Dania berkurung di dalam bilik. Puan Zubaidah sudah
tidak betah duduk diam. Wajah yang risau jelas terpancar dari air mukanya. “Apa
yang kita nak buat ni,bang?”soal Puan Zubaidah kepada suaminya,Encik Rashid.
“Biarkan dia. Nanti Dania lapar pandailah dia keluar dari bilik.” Encik Rashid
masih leka membaca surat khabar.
Dania
merenung ke luar jendela dengan pandangan yang kosong. ‘Aku tak peduli lagi.
Aku akan tetap dengan keputusan aku.’ Tekad Dania. Akhirnya Dania lena bersama
azam yang membara-bara di dalam jiwa.
Matahari
sudah memancarkan sinarannya menandakan hari baru sudah bermula. Dania bangun
awal pada hari itu. Dia bertekad untuk menyatakan hasratnya sekali lagi kepada
Encik Rashid. Dan dia akan pastikan bahawa hasratnya kali ini akan tercapai.
Dania pasti sekali.
“Ayah, Dania dah buat keputusan.
Dania tetap dengan keputusan Dania. Izinkan Dania,yer ayah.” Dania menutur
dengan lembut. Dia tahu hati ayahnya tidaklah sekeras mana. Kalau kena caranya
pasti lembut juga. “Tidak. Kalau Dania tetap dengan keputusan Dania. Ayah juga
tetap dengan keputusan ayah. Ayah nak kamu ambil jurusan perakaunan dan ambil
alih syarikat ayah suatu hari nanti.” Tegas Encik Rashid. Dania kelu. Dia sudah
buntu. Pelbagai cara telah dia lakukan. “Baiklah,ayah bagi Dania dua pilihan.
Dania harus pilih untuk menjadi waris syarikat atau teruskan dengan impian
Dania.”Encik Rashid bersuara. “Kalau Dania tetap dengan keputusan Dania,jangan
harap satu sen pun daripada harta ayah akan jatuh kepada Dania.”
Dania
terkesima. Dia tidak pernah menyangka ayahnya akan membuat keputusan sebegitu.
Dania keliru. “Baiklah. Kalau itu yang ayah mahu. Dania akan buktikan yang
Dania akan tetap berjaya dengan usaha Dania sendiri.”
Dania mula mengatur langkah keluar dari rumah banglo
yang telah dia tinggal selama 19 tahun. Hari ini dia terpaksa meninggalkan segala
kemewahan dan memulakan hidup yang baru. ‘Dania jangan risau. Kalau Dania
perlukan bantuan, telefon mama yer.’ Sempat Puan Zubaidah berpesan kepada Dania
sebelum dia keluar dari rumah. Wang pemberian ibunya cukup untuk perbelanjaannya
selama 2 bulan.
Destinasi
pertama Dania adalah ke rumah sewa rakan karibnya, Amalia. Dia akan tinggal di
situ buat sementara waktu. dia juga akan menyambung pelajarannya dalam jurusan
fesyen di samping melakukan kerja separuh masa di butik kepunyaan rakan ibunya.
Mujurlah ibunya tidak menghalang cita-citanya. “Bila kau mula kuliah?” Amalia
menyoal Dania ketika mereka sedang menonton televisyen setelah selesai makan
malam. “Minggu depan. Tapi aku mula kerja di butik kawan mak aku tu lusa.” Mata
Dania masih tidak lepas dari kaca televisyen. “Baguslah. Sekurang-kurangnya ada
juga tempat kau nak curahkan hasil seni kau tu.” Amalia menyisip air Milo yang
masih panas. “Hmmm..betul tu,” ujar Dania sambil tersenyum. Mereka berdua terus
leka menonton drama Korea kegemaran mereka sambil berbual-bual kosong.
Dua
bulan telah berlalu. Meskipun agak susah untuk Dania menyesuaikan diri dengan
persekitaran hidup yang agak sibuk dengan pelajaran dan kerja, itu tidak menjadikan
Dania seorang yang cepat berputus asa. Masa perlu dibahagikan dengan rapi.
Rekaan fesyennya semakin bertambah menarik dan mula menjadi sebutan ramai.
Butik rakan ibunya bertambah laris. Puan Zubaidah lega mendapat perkhabaran
itu. Kerinduannya terubat apabila dapat berjumpa Dania di butik rakannya.
“Macam
mana dengan pelajaran Dania?”soal Puan Zubaidah sambil mengusap kepala anak
kesayangannya. “Semuanya okey,mama. Mama janganlah risau, anak mama ni kan kuat
orangnya.” Dania menguntumkan senyuman. Suka diperlakukan sebegitu oleh ibunya.
“Ayah macam mana ma? Dia masih marahkan Nia?” Dania mengajukan soalan setelah
senyap beberapa ketika. Puan Zubaidah diam tanpa kata. “Mama dah tak tahu nak
cakap apa. Ayah masih dengan keras kepalanya tu. Tapi mama yakin yang satu hari
nanti hati ayah akan tetap lembut. Dania sabar ya.” Ujar Puan Zubaidah dengan
lembut.
Dania
baru sahaja selesai peperiksaan akhir semester. Selepas ini dia akan bercuti.
Peluang itu akan digunakan sepenuhnya untuk memajukan butik tempat dia bekerja.
Masih banyak tempahan pelanggan yang harus dia siapkan. Dania berazam untuk
membuka butiknya sendiri suatu hari nanti. Sekarang dia sedang balajar
cara-cara untuk menguruskan butik daripada Puan Salina, iaitu pemilik butik
yang sedang dia bekerja dan juga rakan karib ibunya. Puan Salina tidak lokek
untuk berkongsi ilmu kepada Dania. Dia sudah menganggap Dania Farisha seperti
anaknya sendiri dan meletakkan sepenuh harapan kepada Dania.
Sudah
hampir satu tahun Dania meninggalkan rumah. Encik Rashid tidak pernah lepas
setiap perkembangan tentang anaknya, Dania Farisha. Sejujurnya dia sangat
berbangga dengan kesungguhan anaknya untuk menjadi seorang pereka fesyen. Namun
egonya sebagai seorang bapa menghalangnya untuk bertemu dengan anaknya. Pernah
beberapa kali dia pergi ke universiti di mana Dania belajar untuk mempastikan
bahawa pelajaran anaknya sentiasa berjalan lancar.
Dania
sudah berjaya untuk mendapatkan segulung diploma dalam jurusan fesyen. Dia juga
menyertai satu pertandingan mereka pakaian dan telah menjuarai pertandingan
tersebut. Hadiah pertandingan tersebut merupakan tajaan untuk menyambung
pelajaran ke kota Paris selama dua tahun. Peluang ini bagaikan satu jalan untuk
Dania mengembangkan lagi minatnya dalam bidang rekaan fesyen.
Dania
mengatur langkah perlahan ke arah pintu masuk rumah yang besar itu. Rasa gugup
mula menguasai diri. Bimbang perasaan marah masih menguasai diri ayahnya. Puan
Zubaidah sudah sedia menanti di muka pintu. Kegembiraan jelas terpancar di
wajahnya. Encik Rashid sedang duduk di sofa yang berada di ruang tamu. Langung
tiada riak wajah gembira di air mukanya. Dania memberi salam dan memeluk Puan
Zubaidah. Meluahkan segala rasa rindu yang berada di dalam hati. Persiapan
untuk peperiksaan akhir semester dan pertandingan menyebabkan Dania tiada masa
untuk berjumpa dengan ibunya.
“Mama
sihat? Rindu sangat dengan mama!” Dania memeluk kemas ibunya. Mereka berjalan
beriringan ke arah ruang tamu dan duduk berhadapan Encik Rashid. Dania bangun untuk bersalaman dengan ayahnya
namun tiada sebarang reaksi daripada Encik Rashid. Dania duduk kembali dengan
wajah yang hampa. Dia menundukkan wajah apabila matanya bertentangan dengan
mata ayahnya.
“Ayah,
tujuan Dania balik ke sini bukanlah untuk menambahkan sakit di hati ayah. Tapi
Dania nak tunjukkan bukti yang Dania dah berjaya capai impian Dania. Dania dah
berjaya dapatkan diploma dan Dania dapat tawaran uuntuk sambung pelajaran di
Paris bulan depan. Rekaan pakaian Dania pun dah dapat sambutan hangat.” Dania
memberanikan diri untuk memulakan perbualan dengan ayahnya. Dia tidak mahu terus-terusan sebegini dengan ayahnya.
“Ayah
tahu. Ayah tahu setiap apa yang terjadi kepada anak ayah. Tak sangka Dania
tetap bersungguh-sungguh nak membuktikan yang Dania akan berjaya. Tahniah
Dania,tahniah.” Encik Rashid mengeluarkan suara akhirnya setelah lama menyepi.
Terkejut Puan Zubaidah dan Dania Farisha mendengar ayat yang keluar dari mulut
Encik Rashid. Mereka menyangka Encik Rashid langusung tidak mengambil kisah
dengan hidup Dania lagi.
Air
mata mula menitis dari mata Dania. Dia terharu mendengar pengakuan daripada
ayahnya. “Terima kasih ayah. Dania tak sangka yang selama ni ayah masih
mengambil berat tentang diri Dania.” Sebak Dania. “Mestilah ayah risau. Dania
kan satu-satunya puteri ayah. Mana boleh ayah nak biarkan puteri ayah hidup tak
menentu.” Dania mula bangun dari tempat duduknya dan menuju ke arah Encik
Rashid. Sudah lama dia menantikan saat ini. Saat di mana ayahnya menerimanya
kembali.
Pengumuman
untuk penerbangan ke Paris sudah kedengaran. Sudah tiba masanya untuk Dania
Farisha berangkat ke Paris dan menyambung pengajiannya. Encik Rashid dan Puan
Zubaidah menghantarnya hingga ke balai berlepas. Sempat lagi Dania bersalaman
dan berpelukan dengan Puan Zubaidah serta Encik Rashid. Perasaan sayu
menyelubungi hati mereka. Pengumuman kali kedua telah dibuat. Dania menarik beg
pakaiannya menuju ke dalam balai berlepas. Sesekali dia menoleh ke belakang dan
melambaikan tangan kepada kedua ibu bapanya. Berbekalkan semangat dan minat
yang mendalam dalam bidang fesyen dan dorongan yang telah diberikan oleh ibu
bapanya, Dania Farisha yakin bahawa dia akan menjadi seorang pereka fesyen yang
ternama di Malaysia malahan seantero dunia.
-TAMAT-
1 comments:
adik ada bakat =)
teruskan berkarya. hihihi
Post a Comment