Monday, October 1, 2012

IMPIAN


Harap maaf kalu cerpen nie x seronok...sajer nak post alang2 kena buat tugasan untuk Bahasa Melayu
************

                Dania mengeluh buat kesekelian kalinya. Hasratnya untuk menjadi seorang pereka fesyen yang terkenal ditolak mentah-mentah oleh bapanya. Sudah beberapa kali dia menyampaikan hasrat itu tetapi jawapan yang diterima tetap sama.“Ayah tak izinkan kamu belajar fesyen. Bidang ni tak tak menjamin masa depan yang cerah untuk kamu.” Berulang kali ayat itu timbul di kepala Dania. Air mata yang mula menitis pantas diseka.

            Sudah hampir satu jam setengah Dania berkurung di dalam bilik. Puan Zubaidah sudah tidak betah duduk diam. Wajah yang risau jelas terpancar dari air mukanya. “Apa yang kita nak buat ni,bang?”soal Puan Zubaidah kepada suaminya,Encik Rashid. “Biarkan dia. Nanti Dania lapar pandailah dia keluar dari bilik.” Encik Rashid masih leka membaca surat khabar.

            Dania merenung ke luar jendela dengan pandangan yang kosong. ‘Aku tak peduli lagi. Aku akan tetap dengan keputusan aku.’ Tekad Dania. Akhirnya Dania lena bersama azam yang membara-bara di dalam jiwa.

            Matahari sudah memancarkan sinarannya menandakan hari baru sudah bermula. Dania bangun awal pada hari itu. Dia bertekad untuk menyatakan hasratnya sekali lagi kepada Encik Rashid. Dan dia akan pastikan bahawa hasratnya kali ini akan tercapai. Dania pasti sekali.

            “Ayah, Dania dah buat keputusan. Dania tetap dengan keputusan Dania. Izinkan Dania,yer ayah.” Dania menutur dengan lembut. Dia tahu hati ayahnya tidaklah sekeras mana. Kalau kena caranya pasti lembut juga. “Tidak. Kalau Dania tetap dengan keputusan Dania. Ayah juga tetap dengan keputusan ayah. Ayah nak kamu ambil jurusan perakaunan dan ambil alih syarikat ayah suatu hari nanti.” Tegas Encik Rashid. Dania kelu. Dia sudah buntu. Pelbagai cara telah dia lakukan. “Baiklah,ayah bagi Dania dua pilihan. Dania harus pilih untuk menjadi waris syarikat atau teruskan dengan impian Dania.”Encik Rashid bersuara. “Kalau Dania tetap dengan keputusan Dania,jangan harap satu sen pun daripada harta ayah akan jatuh kepada Dania.”

            Dania terkesima. Dia tidak pernah menyangka ayahnya akan membuat keputusan sebegitu. Dania keliru. “Baiklah. Kalau itu yang ayah mahu. Dania akan buktikan yang Dania akan tetap berjaya dengan usaha Dania sendiri.”

           
Dania mula mengatur langkah keluar dari rumah banglo yang telah dia tinggal selama 19 tahun. Hari ini dia terpaksa meninggalkan segala kemewahan dan memulakan hidup yang baru. ‘Dania jangan risau. Kalau Dania perlukan bantuan, telefon mama yer.’ Sempat Puan Zubaidah berpesan kepada Dania sebelum dia keluar dari rumah. Wang pemberian ibunya cukup untuk perbelanjaannya selama 2 bulan.
            Destinasi pertama Dania adalah ke rumah sewa rakan karibnya, Amalia. Dia akan tinggal di situ buat sementara waktu. dia juga akan menyambung pelajarannya dalam jurusan fesyen di samping melakukan kerja separuh masa di butik kepunyaan rakan ibunya. Mujurlah ibunya tidak menghalang cita-citanya. “Bila kau mula kuliah?” Amalia menyoal Dania ketika mereka sedang menonton televisyen setelah selesai makan malam. “Minggu depan. Tapi aku mula kerja di butik kawan mak aku tu lusa.” Mata Dania masih tidak lepas dari kaca televisyen. “Baguslah. Sekurang-kurangnya ada juga tempat kau nak curahkan hasil seni kau tu.” Amalia menyisip air Milo yang masih panas. “Hmmm..betul tu,” ujar Dania sambil tersenyum. Mereka berdua terus leka menonton drama Korea kegemaran mereka sambil berbual-bual kosong.
            Dua bulan telah berlalu. Meskipun agak susah untuk Dania menyesuaikan diri dengan persekitaran hidup yang agak sibuk dengan pelajaran dan kerja, itu tidak menjadikan Dania seorang yang cepat berputus asa. Masa perlu dibahagikan dengan rapi. Rekaan fesyennya semakin bertambah menarik dan mula menjadi sebutan ramai. Butik rakan ibunya bertambah laris. Puan Zubaidah lega mendapat perkhabaran itu. Kerinduannya terubat apabila dapat berjumpa Dania di butik rakannya.

            “Macam mana dengan pelajaran Dania?”soal Puan Zubaidah sambil mengusap kepala anak kesayangannya. “Semuanya okey,mama. Mama janganlah risau, anak mama ni kan kuat orangnya.” Dania menguntumkan senyuman. Suka diperlakukan sebegitu oleh ibunya. “Ayah macam mana ma? Dia masih marahkan Nia?” Dania mengajukan soalan setelah senyap beberapa ketika. Puan Zubaidah diam tanpa kata. “Mama dah tak tahu nak cakap apa. Ayah masih dengan keras kepalanya tu. Tapi mama yakin yang satu hari nanti hati ayah akan tetap lembut. Dania sabar ya.” Ujar Puan Zubaidah dengan lembut.

            Dania baru sahaja selesai peperiksaan akhir semester. Selepas ini dia akan bercuti. Peluang itu akan digunakan sepenuhnya untuk memajukan butik tempat dia bekerja. Masih banyak tempahan pelanggan yang harus dia siapkan. Dania berazam untuk membuka butiknya sendiri suatu hari nanti. Sekarang dia sedang balajar cara-cara untuk menguruskan butik daripada Puan Salina, iaitu pemilik butik yang sedang dia bekerja dan juga rakan karib ibunya. Puan Salina tidak lokek untuk berkongsi ilmu kepada Dania. Dia sudah menganggap Dania Farisha seperti anaknya sendiri dan meletakkan sepenuh harapan kepada Dania.

            Sudah hampir satu tahun Dania meninggalkan rumah. Encik Rashid tidak pernah lepas setiap perkembangan tentang anaknya, Dania Farisha. Sejujurnya dia sangat berbangga dengan kesungguhan anaknya untuk menjadi seorang pereka fesyen. Namun egonya sebagai seorang bapa menghalangnya untuk bertemu dengan anaknya. Pernah beberapa kali dia pergi ke universiti di mana Dania belajar untuk mempastikan bahawa pelajaran anaknya sentiasa berjalan lancar.

            Dania sudah berjaya untuk mendapatkan segulung diploma dalam jurusan fesyen. Dia juga menyertai satu pertandingan mereka pakaian dan telah menjuarai pertandingan tersebut. Hadiah pertandingan tersebut merupakan tajaan untuk menyambung pelajaran ke kota Paris selama dua tahun. Peluang ini bagaikan satu jalan untuk Dania mengembangkan lagi minatnya dalam bidang rekaan fesyen.

            Dania mengatur langkah perlahan ke arah pintu masuk rumah yang besar itu. Rasa gugup mula menguasai diri. Bimbang perasaan marah masih menguasai diri ayahnya. Puan Zubaidah sudah sedia menanti di muka pintu. Kegembiraan jelas terpancar di wajahnya. Encik Rashid sedang duduk di sofa yang berada di ruang tamu. Langung tiada riak wajah gembira di air mukanya. Dania memberi salam dan memeluk Puan Zubaidah. Meluahkan segala rasa rindu yang berada di dalam hati. Persiapan untuk peperiksaan akhir semester dan pertandingan menyebabkan Dania tiada masa untuk berjumpa dengan ibunya.

            “Mama sihat? Rindu sangat dengan mama!” Dania memeluk kemas ibunya. Mereka berjalan beriringan ke arah ruang tamu dan duduk berhadapan Encik Rashid.  Dania bangun untuk bersalaman dengan ayahnya namun tiada sebarang reaksi daripada Encik Rashid. Dania duduk kembali dengan wajah yang hampa. Dia menundukkan wajah apabila matanya bertentangan dengan mata ayahnya.

            “Ayah, tujuan Dania balik ke sini bukanlah untuk menambahkan sakit di hati ayah. Tapi Dania nak tunjukkan bukti yang Dania dah berjaya capai impian Dania. Dania dah berjaya dapatkan diploma dan Dania dapat tawaran uuntuk sambung pelajaran di Paris bulan depan. Rekaan pakaian Dania pun dah dapat sambutan hangat.” Dania memberanikan diri untuk memulakan perbualan dengan ayahnya. Dia tidak mahu  terus-terusan sebegini dengan ayahnya.

            “Ayah tahu. Ayah tahu setiap apa yang terjadi kepada anak ayah. Tak sangka Dania tetap bersungguh-sungguh nak membuktikan yang Dania akan berjaya. Tahniah Dania,tahniah.” Encik Rashid mengeluarkan suara akhirnya setelah lama menyepi. Terkejut Puan Zubaidah dan Dania Farisha mendengar ayat yang keluar dari mulut Encik Rashid. Mereka menyangka Encik Rashid langusung tidak mengambil kisah dengan hidup Dania lagi.

            Air mata mula menitis dari mata Dania. Dia terharu mendengar pengakuan daripada ayahnya. “Terima kasih ayah. Dania tak sangka yang selama ni ayah masih mengambil berat tentang diri Dania.” Sebak Dania. “Mestilah ayah risau. Dania kan satu-satunya puteri ayah. Mana boleh ayah nak biarkan puteri ayah hidup tak menentu.” Dania mula bangun dari tempat duduknya dan menuju ke arah Encik Rashid. Sudah lama dia menantikan saat ini. Saat di mana ayahnya menerimanya kembali.

            Pengumuman untuk penerbangan ke Paris sudah kedengaran. Sudah tiba masanya untuk Dania Farisha berangkat ke Paris dan menyambung pengajiannya. Encik Rashid dan Puan Zubaidah menghantarnya hingga ke balai berlepas. Sempat lagi Dania bersalaman dan berpelukan dengan Puan Zubaidah serta Encik Rashid. Perasaan sayu menyelubungi hati mereka. Pengumuman kali kedua telah dibuat. Dania menarik beg pakaiannya menuju ke dalam balai berlepas. Sesekali dia menoleh ke belakang dan melambaikan tangan kepada kedua ibu bapanya. Berbekalkan semangat dan minat yang mendalam dalam bidang fesyen dan dorongan yang telah diberikan oleh ibu bapanya, Dania Farisha yakin bahawa dia akan menjadi seorang pereka fesyen yang ternama di Malaysia malahan seantero dunia.

-TAMAT-